QCJ 523 The teaching of Malay Literature
Monday, November 3, 2008
Kecelaruan
Cerpen ini mempunyai empat bahagian yang menurutku bukan satu rangkaian atau kesinambungan. Apa yang menyatukan keempat-empat bahagian ialah tema cerpen ini secara keseluruhan iaitu mengenai perjalanan. Perjalanan satu proses yang membawa pelbagai bentuk pengalaman kepada si pejalan. Perkara yang menyerikan perjalanan itu ialah kesempatan untuk merefleksi diri ketika melalui perjalanan itu sendiri kerana si pejalan akan mengamati persekitarannya dan pengalaman yang dinikmati turut mendewasakannya.
Perjalanan baru Gulliver: Tumbolia
Perjalanan boleh bersifat misteri kerana si pejalan adakalanya tidak tahu apakah yang menantinya di penghujung jalan itu.
Kesemena-menaan perjalanan
Perjalanan satu proses yang tak berkesudahan. Perjalanan menjadi saksi pertumbuhan ataupun evolusi hidup seseorang. Seseorang itu akan tetap melalui proses perjalanan walaupun hayatnya di dunia sudah berakhir.
Perjalanan seribu kupu-kupu
Kupu-kupu boleh ditakrifkan sebagai aura manusia. Aura ini dibentuk oleh pencantuman molekul bau. Aura manusia akan bertukar-tukar sepanjang perjalanan apabila dia mengalami perubahan pada dirinya.
Naik taksi
Dalam meniti perjalanan, adakalanya kita bersifat perjudis terhadap orang sekeliling kita dengan menghukumnya sebelum mengenalinya dengan lebih dekat.
Bagaimanapun, Dr Razif telah memberi tafsiran berbeza terhadap cerpen ini. Rupa-rupanya, cerpen ini mengandungi makna yang begitu mendalam dan tidak semudah yang aku sangkakan. Penggunaan bahasa dari segi pemilihan kekata sedikit sebanyak mempengaruhi pemahaman pembaca yang mempunyai latarbelakang pelbagai.
Dapat digarapkan bahawa cerpen ini mengandungi unsur intertekstualiti. Penulis Mana Sikana menjelaskan bahawa teori intertekstualiti menunjukkan sebuah karya sastera boleh memberi tafsiran baru kepada karya-karya hasil tangan pengarang lain. Menurut Teeuw, “kelahiran sesebuah teks itu kebanyakannya menerima pengaruh mahupun panduan daripada teks-teks lain atau teks-teks sebelumnya. Malahan dapat dikesan dalam sesebuah teks itu akan kewujudan unsur transformasi, penyimpangan atau penolakan daripada teks-teks yang terdahulu“ (Mana 2003: 149).
Intertekstualiti dapat dilihat menerusi tajuk bahagian pertama cerpen. Penggunaan kekata Gulliver dan Tumbolia memperlihatkan bahawa Nukila Amal telah mengadaptasikan beberapa gagasan daripada teks penulis lain.
Rujukan:
Mana Sikana. (2003). Membina keunggulan tradisi sastera. Singapura: Pustaka NAsional Pte Ltd.
Thursday, October 30, 2008
Latihan melakarkan soalan-soalan HOTS
(1) Pengetahuan
(2) Pemahaman
(3) Aplikasi
(4) Analisis
(5) Sintesis
(6) Penilaian
Dengan berlandaskan sajak Pulang karya Muhammad Haji Salleh, aku perlu membentangkan tiga soalan HOTS dalam jangka masa lebih kurang 30 minit. Inilah soalan-soalannya:
(1) Apakah pengertian pulang dalam sajak ini? Adakah kepulangan yang dialami penulis sesuatu yang awak inginkan? (pemahaman/aplikasi/analisis/penilaian)
(2) Apakah yang dimaksudkan dengan “idealisme pemuda”? Salahkah para pemuda berfikiran sedemikian? (pemahaman/analisis/penilaian)
(3) Apakah yang diharapkan penulis setibanya ditempat asal? Patutkah penulis mempunyai harapan sedemikian? (pemahaman/analisis/penilaian)
Sememangnya bukan mudah untuk seorang guru mencerna soalan-soalan HOTS. Banyak perkara perlu dipertimbangkan. Guru harus:
(1) menganggarkan jawaban yang akan diberikan pelajar
- menantisipasikan bukti-bukti dari teks yang boleh digunakan bagi mengukuhkan argumentasi
(2) membentuk skema penilaian
- adakah markah yang baik diberikan kepada pelajar yang dapat memberikan banyak bukti?
Apa yang pasti, banyak manfaat dapat diraih oleh para pelajar dengan adanya latihan menjawab soalan HOTS.
Tuesday, October 28, 2008
Teori sastera feminis
Culler (2000) berpendapat teori sastera digunakan untuk menganalisa dan membantu dalam menyusun argumentasi bagi menjelaskan dan memberi pemaknaan pada teks. Teori sastera sememangnya tidak boleh dipandang remeh kerana sudah lumrah kognitif manusia mengkategorikan informasi didalam otaknya sebelum proses pemaknaan boleh berlaku. Oleh itu, guru seberapa boleh harus memanfaatkan penggunaan teori dalam pengajaran sastera, bukan secara mendadak tetapi "subtle".
Rujukan:
Thursday, October 23, 2008
"Bercinta dengan Barbie" melalui QUADS
A- Answers (Jawapan)
D- Details (Penerangan/perincian)
S- Source (Sumber)
Jawapan:
Penerangan:
Sumber bagi mengukuhkan hujah:
Thursday, October 9, 2008
Pemahaman sastera melalui teknik dramatis
Sinopsis cerpen “Panggil aku: Pheng Hwa” karya Veven Sp Wardhana
Cerpen ini mengisahkan tentang seorang warga Indonesia yang berbangsa Tionghoa sedang mengalami masalah identiti. Secara amnya, cerpen ini adalah refleksi terhadap isu yang dihadapi orang Tionghoa dimana mereka sering dicemuh dan didiskriminasi disebabkan kedudukan mereka yang bukan Pribumi. Lantas, golongan sedemikian seringkali bermain dengan identiti mereka, dengan memupuk nama yang dapat menguntungkan mereka mengikut konteks berbeza. Lokasi dan masa menjadi faktor penting dalam menentukan nama apa yang patut digunakan ie. nama asal atau nama KTP.
Perbincangan sebelumnya telah menggunakan pendekatan linkungan sastera. Kami diberi peranan seperti pengarah perbincangan, tokoh sastera terunggul, penghubung, wedana watak dan bendahara kosa kata. Tugas kami ialah mengupas cerpen ini berdasarkan perspektif yang ditentukan oleh peranan yang diberikan.
Perbincangan selanjutnya pula memerlukan penyampaian beberapa perenggan cerpen ini menggunakan teknik dramatis iaitu dengan suara lantang dan intonasi yang sesuai. Bersama-sama Illiana, kami berusaha menunjukkan intepretasi lisan berbeza terhadap teks yang sama. Inilah antara perenggan yang dipilih:
“... semua Cina yang kutemukan di wilayah Paris distrik 13 ini tak satu pun yang bicara dalam bahasa Mandarin. Bahkan sesama Cina pun mereka ber-parlez Francaise” (ms 161, perenggan 7)
Illiana membacanya dengan nada yang menunjukkan perasaan terkejut, seolah-olah pernyataan ini ialah suatu dapatan baru buat diri narator. Manakala aku pula menyampaikannya dengan nada jijik, narator diibaratkan seperti memandang rendah kepada orang Cina yang bagaikan golongan lupa daratan.
“Di negeri asing ini…….aku tak lagi menggubris aku akan dipanggil dengan nama apa, toh, aku sudah tidak lagi merasa ngumpet…aku merasa baru terlahir kembali” (ms. 163, perenggan 4)
Illiana memaparkan perasaan gembira kerana narator yakin keadaan di Indonesia sudah berubah dimana beliau tidak akan lagi didiskriminasi. Aku pula menunjukkan sikap sambil lewa narator yang tidak pedulikan tentang identitinya lagi.
Aku amat tertarik dengan latihan sedemikian. Pertama, ia menyelitkan elemen drama dalam penyampaian teks. Pelajar harus bijak memilih intonasi yang sesuai dalam menyampaikan intepretasinya. Kedua, ia menguji kebolehan pelajar mengekspresikan emosinya. Ketiga, melalui latihan ini, pelajar akan mendapati sesebuah teks itu boleh mengandungi pelbagai intepretasi. Ini akan membuka minda mereka kepada wujudnya sudut pandangan yang berbeza.
Monday, September 29, 2008
Kealpaan
Tatkala aku membiarkan sajak “Apa ada pada nama” menusuk sanubariku, timbul pula rasa malu dalam diriku. Aku yang pantang melihat orang Melayu ditindas, aku yang cinta amat akan keindahan bahasa Melayu, aku yang kononnya sanggup mati kerana Melayu, tiba-tiba berasa daif yang amat sangat. Mengapa? Sememangnya pengetahuanku mengenai medan kesusasteraan amatlah cetek. Khadijah Hashim, Ahadiat Aqasha…antara segelintir nama yang melekat difikiranku. Nama-nama penulis mapan lagi berkaliber seperti Prof Haji Mohamad Salleh dan Pramoedya Ananta Toer hanya aku kenali di peringkat pengajian atasan. Malah aku juga baru berjinak-jinak dalam menerokai sejarah Singapura sebagai pusat kesusateraan yang dinamik suatu ketika dahulu.
Lantas, aku tertanya-tanya, di manakah kesilapanku? Apakah penyebab kealpaanku yang amat sangat? Patutkah aku berasa marah akan guru bahasa Melayuku kerana gagal membuka mataku akan hal-hal berkaitan dunia sastera? Mungkin pergerakan guru Melayuku terbatas oleh kehendak kurikulum. Patutkah pelajar-pelajar didedahkan dengan pengetahuan sebegini diperingkat awal? Mungkin aku yang jahil dan tidak bersikap proaktif dalam mengetahui lebih lanjut tentang dunia sastera. Mungkin gaya hidup rakyat Singapura yang menghalang seseorang dari menghayati sastera dengan mendalam. Lihat saja bagaimana minat membaca kian menurun dikalangan remaja. Apa yang pasti, aku harus mengembangkan pengetahuanku tentang sastera, sekurang-kurangnya mengenali penulis-penulis mapan supaya ia dapat meningkatkan kaliberku sebagai guru sastera.