Thursday, October 9, 2008

Pemahaman sastera melalui teknik dramatis

Sinopsis cerpen “Panggil aku: Pheng Hwa” karya Veven Sp Wardhana

Cerpen ini mengisahkan tentang seorang warga Indonesia yang berbangsa Tionghoa sedang mengalami masalah identiti. Secara amnya, cerpen ini adalah refleksi terhadap isu yang dihadapi orang Tionghoa dimana mereka sering dicemuh dan didiskriminasi disebabkan kedudukan mereka yang bukan Pribumi. Lantas, golongan sedemikian seringkali bermain dengan identiti mereka, dengan memupuk nama yang dapat menguntungkan mereka mengikut konteks berbeza. Lokasi dan masa menjadi faktor penting dalam menentukan nama apa yang patut digunakan ie. nama asal atau nama KTP.

Perbincangan sebelumnya telah menggunakan pendekatan linkungan sastera. Kami diberi peranan seperti pengarah perbincangan, tokoh sastera terunggul, penghubung, wedana watak dan bendahara kosa kata. Tugas kami ialah mengupas cerpen ini berdasarkan perspektif yang ditentukan oleh peranan yang diberikan.

Perbincangan selanjutnya pula memerlukan penyampaian beberapa perenggan cerpen ini menggunakan teknik dramatis iaitu dengan suara lantang dan intonasi yang sesuai. Bersama-sama Illiana, kami berusaha menunjukkan intepretasi lisan berbeza terhadap teks yang sama. Inilah antara perenggan yang dipilih:

“... semua Cina yang kutemukan di wilayah Paris distrik 13 ini tak satu pun yang bicara dalam bahasa Mandarin. Bahkan sesama Cina pun mereka ber-parlez Francaise” (ms 161, perenggan 7)

Illiana membacanya dengan nada yang menunjukkan perasaan terkejut, seolah-olah pernyataan ini ialah suatu dapatan baru buat diri narator. Manakala aku pula menyampaikannya dengan nada jijik, narator diibaratkan seperti memandang rendah kepada orang Cina yang bagaikan golongan lupa daratan.

Di negeri asing ini…….aku tak lagi menggubris aku akan dipanggil dengan nama apa, toh, aku sudah tidak lagi merasa ngumpet…aku merasa baru terlahir kembali” (ms. 163, perenggan 4)

Illiana memaparkan perasaan gembira kerana narator yakin keadaan di Indonesia sudah berubah dimana beliau tidak akan lagi didiskriminasi. Aku pula menunjukkan sikap sambil lewa narator yang tidak pedulikan tentang identitinya lagi.

Aku amat tertarik dengan latihan sedemikian. Pertama, ia menyelitkan elemen drama dalam penyampaian teks. Pelajar harus bijak memilih intonasi yang sesuai dalam menyampaikan intepretasinya. Kedua, ia menguji kebolehan pelajar mengekspresikan emosinya. Ketiga, melalui latihan ini, pelajar akan mendapati sesebuah teks itu boleh mengandungi pelbagai intepretasi. Ini akan membuka minda mereka kepada wujudnya sudut pandangan yang berbeza.

No comments: