Wednesday, August 27, 2008

Si Tanggang

Antara baris-baris sajak “Perjalanan hidup si Tanggang” yang dibaca Dr Razif yang sempat ku salin:

Ibu dan nenek tak pernah memahami
Isteri telah diprasangka
Berlajar jadi kurang ajar, berdebat
tapi tetap bersopan santun dan menghormati orang lain
Aku bukan manusia baru
Cuma tidak termenung, risau akan kepayahan, takut pada kemungkinan


Kisah dongeng si Tanggang begitu klasik sekali walaupun agak sukar mempercayai seseorang itu boleh bertukar menjadi batu. Namun, isu anak derhaka adalah sesuatu yang universal. Ia kekal relevan dan merentasi pelbagai lapisan masyarakat.

Kisah si Tanggang juga banyak versinya. Sehingga kini, ia masih diingati. Malah, baru-baru ini, stesen televisyen Malaysia (TV3) telah pun manayangkan drama berjudul “Tanggangkah aku?” yang mengadaptasikan kisah dongeng si Tanggang. Penerbit telah memberi nafas baru kepada kisah klasik itu. Watak Tanggang yang ditonjolkan bukan seorang pengembara. Sebaliknya seorang tokoh korporat yang bertegas tidak mahu mengaku kedua ibu bapanya kerana malu akan mereka. Tanggang disini juga tidak disumpah menjadi batu tetapi mengalami kecelakaan jalan raya yang akhirnya melumpuhkannya. Ini mungkin kerana khalayak zaman kini lebih mementingkan unsur logik dalam sesuatu karya berbanding khalayak zaman dulu yang kuat kepercayaan terhadap hal-hal mistik. Lantas pengubahsuaian sebegini dianggap perlu oleh penerbit. Sememangnya sastera klasik boleh diberi latar moden bagi mengekalkan kerelevanannya.

Sebagai seorang guru sastera, peranan aku adalah untuk memastikan pelajar-pelajarku didedahkan kepada khazanah sastera klasik. Sesungguhnya, sastera klasik berguna untuk memperkukuhkan identiti bangsa. Ia juga padat dengan pengajaran lantas dapat membimbing pelajar kearah manusia cemerlang. Mungkin aku boleh cuba selongkar bahan-bahan terkini yang mengadaptasikan konsep atau unsur-unsur sastera klasik sebagai bahan pelajaran.

Disamping itu, aku juga akan menekankan betapa luasnya pengertian sesebuah teks itu. Pentakrifan boleh dilihat dari pelbagai sudut. Watak antagonis boleh diolah menjadi protagonis jika seseorang penulis berani mengambil pendekatan yang berbeza. Sebagaimana yang tertulis di puisi diatas, Tanggang yang dikenali sebagai anak durhaka, telah diberi suara untuk menyatakan pandangannya dan luahan hatinya. Penyataan sedemikan bertujuan mengembalikan semula maruah si Tanngang kerana beliau dipaparkan sebagai seorang yang progresif namun masih berpegang teguh pada tatasusila Melayu. Tanggang ditampilkan sebagai mangsa mereka yang gentar akan pembaharuan. Oleh yang demikian, sastera itu bebas kerana boleh diinterpretasi dengan bermacam cara asalkan ia dapat dijustifikasikan.

Tuesday, August 26, 2008

Pemaknaan sastera

Kelas dimulakan dengan pertanyaan terhadap pengertian sastera. Aku diajukan soalan mengenai persepsiku tentang sastera. Melalui pengalaman cetekku membelek bahan-bahan sastera, sastera bagiku bukan hanya gudang ilmu. Sastera merangkumi pelbagai aspek manusia dan tidak hanya tertakluk kepada penjanaan intelek seseorang dari segi fungsi didaktiknya.

Sastera kaya dengan ilmu pengetahuan kerana melalui buku, seseorang individu dapat memperluaskan lagi mindanya. Namun, aku lebih tertarik pada kebolehan sastera mempengaruhi pemikiran dan persepsi si pembaca. Acapkali, sastera dijadikan alat untuk memupuk semangat nasionalis oleh para sasterawan terutamanya di era penjajahan.

Ini juga dapat dikaitkan dengan keupayaan sastera bermain dengan emosi dan jiwa si pembaca. Adakalanya si pembaca dihiburkan. Adakalanya, si pembaca dirundung kesepian. Adakalanya si pembaca diluapkan dengan api kemarahan. Pergolakan emosi yang berbeza-beza boleh berlaku dalam sekelip mata. Apa yang dapat digarap disini ialah si penulis mempunyai kuasa unggul terhadap si pembaca dalam menentukan ilmu apa yang ingin disebarkannya dan perasaan apa yang ingin dicungkil daripada si pembaca.

Dr Razif pula memberi pendapat bahawa sastera itu indah dari segi ekstetika. Penggunaan bahasa yang menarik dan kata-kata puitis mampu menusuk kalbu seseorang. Namun bagi mereka yang cetek kosa kata dan kurang kemampuan mengapresiasi gaya penulisan sastera, keindahan sastera itu tidak mungkin dapat mereka nikmati. Mereka sememangnya ketandusan jiwa. Pada hematku, sesiapa yang mencintai sastera adalah mereka yang terpilih dan dikurniakan anugerah istimewa.

Monday, August 25, 2008

Pengenalan

Aku amat tertarik dengan cara Dr. Razif menghangatkan suasana bilik yang senyap dengan aktiviti pengenalan yang tak pernah aku lakukan. Aku dan rakan-rakanku sememangnya terperanjat dan amat gelisah apabila diberitahu bahawa kita harus memperkenalkan diri dalam bentuk sastera! Perkataan “sastera” sendiri begitu asing bagi aku apalagi berkarya. Aku sememangnya tidak menduga minda aku akan tercabar pada hari pertama kelas sasteraku. Namun, aku bertekad untuk buktikan kepada diriku akan kebolehanku lantas inilah hasilnya:

Aku pendiam, lebih sebagai pendengar
Kopi diminum untuk kelihatan segar

Bidang kewartawanan menjadi kegilaan
Bidang perguruan sumber pencarian

Hidup mati bukan kehendakku
Namun kota Mekah destinasiku

Kecoh, kecewa, kelam, kemusykilan
NIE meragut kebahagiaanku

Baju ku pakai sederhana
Hati yang suci lebih bermakna

Buku di rak tidak dipandangku
Namun “Kite runner” pilihanku


Mungkin karyaku diatas tidaklah begitu gah, tapi timbul rasa bangga dalam diriku. Sebelum mula berkarya, kami diberi taklimat mengenai unsur-unsur dalam sastera seperti aliterasi, kuplet, oksimoron, metafora dan allegi. Percaya atau tidak, pengenalanku diatas adalah berdasarkan konsep eulogi!

Latihan ini sememangnya membawa seribu satu persoalan. Aku mula tertanya-tanya, “Siapakah aku?” Adakah pentafsiran diri seseorang datangnya dari diri sendiri? Atau adakah ianya harus dilihat dari kacamata dan perspektif orang kedua? Inilah yang menjadi renunganku ketika aku dikelilingi kelompok manusia yang keletihan di sepanjang perjalanan pulang menaiki keretapi. Hingga saat ini, aku masih terus dibelenggu pelbagai pertanyaan mengenai identitiku.


Aku berharap kelas ini akan mengubah perspektifku terhadap karya-karya Melayu. Aku amat berminat mendalami sastera Melayu suatu ketika dahulu. Daya tarikan novel-novel bak besi semberani. Tapi entah mengapa, minat itu semakin pudar...mungkin kerana pendedahan kepada bahan bacaan Inggeris yang lebih mencabar pemikiranku. Namun, akan ku meniti kelas-kelas yang akan datang dengan hati dan minda terbuka.