Monday, September 29, 2008

Kealpaan

Sekali lagi halwa telinga kami disantapkan dengan kata-kata pujangga Prof Haji Mohamad Salleh. Walaupun Dr Razif telah berusaha membacakan beberapa karya seniman yang diagung-agungkan masyarakat, aku masih sangsi apakah sebenarnya kehebatan hamba Allah ini. Ciri-ciri apakah yang dimahukan dalam sesebuah karya sastera sehingga berjaya menjulang nama si penulis?

Tatkala aku membiarkan sajak “Apa ada pada nama” menusuk sanubariku, timbul pula rasa malu dalam diriku. Aku yang pantang melihat orang Melayu ditindas, aku yang cinta amat akan keindahan bahasa Melayu, aku yang kononnya sanggup mati kerana Melayu, tiba-tiba berasa daif yang amat sangat. Mengapa? Sememangnya pengetahuanku mengenai medan kesusasteraan amatlah cetek. Khadijah Hashim, Ahadiat Aqasha…antara segelintir nama yang melekat difikiranku. Nama-nama penulis mapan lagi berkaliber seperti Prof Haji Mohamad Salleh dan Pramoedya Ananta Toer hanya aku kenali di peringkat pengajian atasan. Malah aku juga baru berjinak-jinak dalam menerokai sejarah Singapura sebagai pusat kesusateraan yang dinamik suatu ketika dahulu.

Lantas, aku tertanya-tanya, di manakah kesilapanku? Apakah penyebab kealpaanku yang amat sangat? Patutkah aku berasa marah akan guru bahasa Melayuku kerana gagal membuka mataku akan hal-hal berkaitan dunia sastera? Mungkin pergerakan guru Melayuku terbatas oleh kehendak kurikulum. Patutkah pelajar-pelajar didedahkan dengan pengetahuan sebegini diperingkat awal? Mungkin aku yang jahil dan tidak bersikap proaktif dalam mengetahui lebih lanjut tentang dunia sastera. Mungkin gaya hidup rakyat Singapura yang menghalang seseorang dari menghayati sastera dengan mendalam. Lihat saja bagaimana minat membaca kian menurun dikalangan remaja. Apa yang pasti, aku harus mengembangkan pengetahuanku tentang sastera, sekurang-kurangnya mengenali penulis-penulis mapan supaya ia dapat meningkatkan kaliberku sebagai guru sastera.

Thursday, September 18, 2008

Kaedah pengajaran sajak

Kami diberi kesempatan membentangkan kaedah pengajaran sajak. Dengan berbekalkan sajak “Di dalam diriku ada hutan” karya Wiji Thukul, kami berusaha memerah otak melakarkan pelan untuk mengajar sajak tersebut di kelas. Dapatan yang diperolehi sememangnya berbeza. Jun bermain dengan ekspresi pelajar dalam mencungkil emosi mereka tentang sajak tersebut. Illiana menerapkan elemen keseronokan dalam pelan dengan menyertakan permainan "heart attack” sebagai sebahagian daripada proses pengajaran. Marissa pula mengeksploitasi kebolehan melukis apabila pelajar dihendaki melakarkan interpretasi sajak dalam bentuk grafik dan imejan. Pendekatan Uma agak serupa dengan aku dimana kami lebih menekankan aspek teknikal sajak.

Aku amat kagum melihat bagaimana sesebuah sajak boleh dimengertikan melalui pelbagai cara. Dengan itu, aku merumuskan kaedah pengajaran mencerminkan keperibadian si pengajar. Dari situ, aku mula mendapati bahawa guru sememangnya mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan proses pembelajaran. Inilah saatnya guru menyerlahkan kreativiti mereka agar kelas kekal menarik. Bagaimanapun, ini juga bermakna guru harus mengorbankan lebih banyak masa dan tenaga dalam pencarian bahan-bahan pengajaran yang relevan dan segar. Usaha mereka akan terpantul dalam pelan pengajaran mereka.

Setelah selesai pembentangan, aku mendapati perancanganku kurang kreativiti. Malah aku gagal mengambil kira faktor khalayak dan masa. Penerangan mengenai segala ciri sajak secara serentak mungkin kurang sesuai diperingkat menengah. Mentelah, masa yang diberikan tidak mencukupi. Apa yang perlu diperbaiki ialah objektif pengajaran perlu jelas. Dengan itu segala percaturan boleh ditumpukan bagi memenuhi objektif tersebut.

Selagi aku masih digelar guru pelatih, aku harus bersedia menghadapi segala kemungkinan dikritik dan dipersoalkan. Apapun, masih banyak lagi yang perlu aku pelajari dalam meniti hari-hariku sebagai guru sastera. Ia bukan sesuatu yang mudah tetapi aku akan tetap berfikiran positif.







Tuesday, September 16, 2008

kelas sastera medan perjuangan

Mungkin tanggapanku bahawa sastera itu hanya untuk mereka yang terpilih ada kebenarannya. Ini ku nyatakan setelah menjalani beberapa latihan menghuraikan cerpen-cerpen bermula dengan Rembulan dalam Cappuccino, Surat yang tak pernah sampai dan yang terbaru Panggil aku: Pheng Hwa. Acapkali aku sedar tafsiranku tentang karya-karya tersebut amat berbeza sekali dengan rakan-rakan kelas yang rata-rata mampu menghuraikan cerpen dengan begitu baik sekali. Aku pula diajukan pelbagai soalan yang menguji kekuatan argumenku. Seringkali aku tewas mempertahankan hujah-hujahku. Aku bertanya, dimanakah kesilapanku? Adakah ia hanya permainan psikologi dimana kegugatan yang timbul dek diajukan pelbagai soalan telah menggoyahkan pendirianku tentang teks tersebut lantas hujah-hujahku kelihatannya seperti tidak berasas?

Apapun, aku mula memahami bahawa sastera itu tidak semudah yang aku sangkakan. Seorang pembaca harus mempunyai pendirian tegas tentang apa yang digarapnya dari pembacaan sastera tersebut dan mencari bukti-bukti kukuh untuk mempertahankan tafsirannya. Melihat tafsiran berbeza rakan-rakanku, aku rasakan sastera sebenarnya memberi kebebasan kepada pembaca kerana mereka tidak dipaksa mengikut satu tafsiran sahaja. Apa yang perlu cuma keyakinan untuk membentangkannya dan keberanian menghadapi musuh-musuh yang tidak sealiran.

Timbul pula kerisauan dalam diriku. Jika aku sendiri tidak berjaya mempertahankan tafsiranku, mampukah aku menjalankan tugasku sebagai guru sastera? Minat aku dalam sastera memang ada, tapi adakah itu cukup untuk aku mengajar sastera? Mentelah, aku dapati pentakrifan aku tentang sesuatu sastera amat berbeza dengan rakan-rakanku. Betulkah sastera itu hanya untuk mereka yang terpilih? Wujudkah teknik-teknik untuk mempelajari sastera?
Dr Razif telah menerangkan sememangnya sastera itu adalah untuk umum. Namun, untuk mencapai tahap seterusnya iaitu kebolehan mengkritik, menganalisa dan menyampaikan tafsiran sastera, bukanlah tugas yang mudah. Lantas, tidak semua boleh lakukannya.


Tuesday, September 9, 2008

Penyampaian sajak melalui media

Tiba giliran aku untuk perbentangkan bahan bacaan. Aku bersemangat ingin berkongsi sebuah sedutan filem remaja yang pernah aku tonton satu ketika dahulu. Filem “Ada apa dengan cinta” (AADC) menjadi kegilaan remaja bukan hanya kerana pelakon-pelakon yang tampan dan cantik belaka, tetapi jalan ceritanya yang bertemakan cinta, sesuatu yang dekat dihati para remaja. Apa yang menarik tentang AADC ialah penonton disajikan dengan kata-kata puitis yang mengisarkan pergolakkan emosi watak-wataknya. Aku amat tertarik dengan cara pengarah menyelitkan adegan-adegan penyampaian puisi-puisi indah. Lantas, dengan bantuan Youtube, aku berjaya mendapatkan sedikit sedutan AADC. Klip video itu mempaparkan watak utama, Cinta, mendeklamasikan sebuah sajak berlatarbelakangkan alunan muzik indah diselangselitkan dengan beberapa adegan dalam AADC bagi memperkukuhkan lagi penghayatan sajak tersebut. Namun, Dr. Razif mempersoalkan penggunaan media sebagai perantaraan dalam menyampaikan sesebuah sajak kepada pelajar-pelajar. Bagi beliau, ia bagaikan guru itu hanya mahu mengambil jalan mudah.

Kesuntukan masa didalam kelas tidak mengizinkan aku memberi penjelasan tentang mengapa klip video itu dipilih. Malah aku tidak berkesempatan menyumbang tafsiranku tentang sajak tersebut. Disini, aku ingin cuba menjernihkan keadaan.

Menurut pendapatku, tidak salah jika seorang guru menggunakan media sebagai perantaraan. Jika cara penyampaian puisi itu lebih meninggalkan kesan yang mendalam kepada si pendengar, mengapa tidak? Mungkin apa yang dimaksudkan Dr Razif ialah untuk menghayati sebuah puisi, seseorang harus melihat perkataan-perkataan puisi itu dengan jelas, tidak boleh mengharapkan pendengaran semata-mata. Salah aku juga kerana beranggapan semua akan tangkap apa yang diujarkan Cinta. Namun, aku tetap berpendirian bahawa penggunaan media kadangkala boleh memberi impak yang lebih ketara, terutamanya dari segi menarik perhatian pelajar-pelajar. Mentelah, guru sekarang berhadapan dengan pelajar zaman digital yang berminat pada bahan-bahan visual. Oleh itu, sastera harus dipersembahkan sebagai sesuatu yang sealiran dengan perkembangan teknologi. Apa yang boleh diperbaiki ialah menyediakan transkripsi sajak tersebut bersebelahan klip video supaya mudah untuk diikuti ramai.

Menjelaskan lebih lanjut pemilihan klip tersebut, aku ingin utarakan perbezaan sajak dalam AADC dengan sajak cinta kimia yang dibentangkan minggu lepas. Yang pertama, sajak AADC menuntut si pembaca mengetahui jalan cerita AADC untuk memahami sajak itu dengan lebih mendalam kerana ia berbentuk kontekstual. Manakala sajak cinta kimia menyentuh aspek cinta secara langsung. Selain itu, seseorang yang ingin menghayati sajak AADC juga harus mempunyai sedikit pengetahuan tentang bahasa Indonesia kerana terdapat beberapa istilah-istilah asing. Ini menunjukkan bahawa sastera adakalanya membataskan khalayaknya. Juga, penggunaan visual sememangnya membantu dalam pemahaman sajak tersebut berbanding dengan penyampaian sajak cinta kimia dimana pendengar hanya membayangkan saja bagaimana penyatuan partikel-partikel boleh mendatangkan reaksi kimia.

Secara rumusan, sajak boleh disampaikan dengan pelbagai cara. Aku akui penyampaian sajak melalui lisan secara lansung akan kelihatan lebih spontan dan luhur. Namun, kita tidak boleh menolak teknologi yang sudah pun menjadi sebahagian besar daripada hidup kita. Ku akhiri dengan sedutan sajak AADC. Apa yang dapat digarap ialah watak Cinta sedang berasa sangat kesunyian lantas mendambakan perhatian. Dia juga bagaikan ingin petunjuk bagi meleraikan kekeliruan hidup yang dihadapinya. Para remaja sememangnya boleh berhubung dengan isu-isu sebegini.

Ku lari ke hutan kemudian menyanyiku
Ku lari ke pantai kemudian teriakku
Sepi, sepi dan sendiri aku benci
Aku ingin bingar, aku mau di pasar

Bosan aku dengan penat
Dan enyah saja kau pekat
Seperti berjelaga jika ku sendiri
Pecahkan saja gelasnya biar ramai
Biar mengadu sampai gaduh

Ada malaikat menyulam
Jaring laba-laba belang di tembok keraton putih
Kenapa tak goyangkan saja loncengnya biar terdera
Atau aku harus lari ke hutan, belok ke pantai

Monday, September 8, 2008

Novel popular tidak harus diperlekehkan

Isu sastera ringan (novel popular) dan sastera berat (novel serius) hangat diperdebatkan didalam kelas. Kami berusaha mengupas peri-pentingnya novel popular walaupun ramai yang memperkotak-katikkan kandungan novel-novel cinta. Aku bertegas ingin menggalakkan para pelajarku terus dibuai dan dilenggokkan dengan madah-madah cinta. Aku percaya novel-novel popular inilah yang akan menjadi pencetus minat dalam sastera berat. Sebagai seorang guru, aku tidak harus meremehkan novel-novel popular. Malah, aku harus mengambil kesempatan diatas kecenderungan mereka dan berusaha menambah nilai keatasnya. Apa yang dimaksudkan disini ialah aku akan gunakan novel popular sebagai landasan untuk mengembangkan pemikiran dan perspektif mereka dalam menganalisa sastera genre lain. Juga supaya akhirnya pelajar-pelajarku berjaya menjadi "discerning readers" lantas dapat menilai mutu sesebuah sastera.

Aku juga berpendapat salah satu sebab remaja kurang minat dalam novel serius ialah penggunaan istilah-istilah yang dianggap asing bagi mereka. Lantas, ia mematikan semangat membaca dek kurang pemahaman. Penting untuk aku mengembangkan kosa kata pelajarku dalam pelbagai bidang. Mungkin aku boleh melakarkan kelas aku mengikut tema-tema tertentu. Aku juga boleh mengajar teknik membaca yang boleh memudahkan mereka memahami sesuatu perkataan baru.

Yang pasti, aku tak akan menghalang pelajarku membaca novel popular. Malah aku menganggap ia sesuatu yang positif kerana ia mencerminkan minat mereka dalam sastera Melayu. Mungkin mereka belum arif menilai kualiti sesebuah karya. Namun ia tetap pemangkin bagi mengalih tumpuan mereka kepada sastera berat dan memperhalusi kemahiran bahasa mereka. Lagipun, melalui pembacaan, ia juga dapat memperbaiki kemahiran menulis.

Aku sendiri akui, Ahadiatlah yang memperkenalkan aku kepada dunia sastera Melayu yang sekarng baru aku sedar betapa luasnya ia. Novel popular berjaya menerbitkan cintaku terhadap bahasa kerana aku sering dicabar merujuk kamus mencari makna perkataan-perkataan sukar. Dengan demikian, aku mula mengapresiasi keindahan bahasa ibundaku dek semangat jitu menggarap jalan cerita sesebuah novel. Novel popular jugalah yang menemani aku ketika aku mencari ketenangan menghadapi zaman remaja. Oleh itu, aku sangkal dakwaan pengkritik yang menyatakan novel popular tiada nilainya.

Wednesday, September 3, 2008

Cinta dalam sastera


Sekali lagi aku dibentangkan dengan sebuah karya sastera bertemakan cinta. Namun kali ini, cinta dilihat dari sudut perspektif ahli kimia. Penyatuan hati dua insan bercinta diibaratkan seperti penggabungan partikel-partikel yang akhirnya memberi reaksi tak kira positif atau negatif. Jenuh aku membaca bait-bait puitis yang acapkali berpusat pada cinta. Apa, tiada wacana-wacana lain yang layak diungkapkan dengan kata-kata indah? Segala keindahan didunia ini hanya boleh dinikmati dengan adanya cinta?

Melalui pengamatanku, terdapat banyak karya sastera yang bertemakan cinta. Maka tidak hairanlah jika masyarakat sering mengaitkan sastera Melayu dengan konotatif seperti “jiwa-jiwa”, “jiwang” dan “melemaskan” dan akhirnya merasa mual dengan sastera. Tidak dinafikan manusia perlukan cinta. Tapi jika cinta yang berbaur seksual sering diberi perhatian, keagungan dan keajaiban cinta itu akan pudar. Cinta akan menjadi sesuatu yang biasa-biasa saja, tidak istimewa.

Aku ingin melihat keindahan alam yang tiada terbatasnya dilakarkan dalam bentuk puisi dan dideklamasikan dengan penuh emosi. Ataupun, isu berat seperti korupsi disentuh dalam sastera Melayu. Pendek kata, segala yang luar dari lingkungan cinta itu dicatitkan dengan sebanyak-banyaknya supaya dapat menambah ilmu pengetahuanku.

Berpijak dibumi yang nyata, kita tidak boleh lari dari mengiyakan bahawa sastera cinta inilah yang menjadi kegemaran para remaja. Kita sedar bahawa penulis-penulis telah mengambil kesempatan ke atas minat mereka yang mendalam apabila kita saksikan novel-novel cinta tumbuh bak cendawan. Bagaimanapun, adakah aku sebagai guru sastera akan merasa gusar melihat perkembangan ini? Adakah novel-novel cinta akan memberi apa-apa kesan kepada pembelajaran mereka atau cara aku mengajar?

Semestinya aku tidak akan menghalang mereka daripada membaca sastera cinta. Ini kerana, bagiku, minat akan karya cinta merupakan satu frasa dalam kehidupan setiap remaja. Setiap buku bagiku adalah ilmu lantas aku tidak patut menghambat pelajar-pelajarku daripada menimba ilmu. Apa yang boleh aku lakukan ialah menerangkan kepada mereka bahawa cinta itu boleh dilihat dari pelbagai dimensi, tidak tertakluk pada cinta antara lelaki dan wanita. Disamping itu, aku akan memupuk kemahiran melihat atau menganalisa sastera cinta melalui perspektif yang berbeza. Dengan itu, diharapkan pemikiran pelajar-pelajarku akan berkembang dan tidak hanya tertumpu pada cinta.

Aku bukan Sang pencinta, aku bukan Sang pembenci....Aku kagum dengan Cinta...Malah aku lagi terpesona dengan mereka yang menulis Cinta...Bukan mudah untuk mempenakan Cinta...Dapat kubayangkan emosi Cintanya...Tapi terus terang kukatakan tahap toleransiku terhadap madah-madah Cinta ada hadnya...Ku akhiri dengan sebuah sajak cinta karya sahabatku yang cukup berbakat dan berjiwa sastera, Abdul Ghani. Musykil aku bagaimana seseorang boleh menghasilkan karya yang penuh emosi...Aku pernah cuba tapi tak menjadi...Entahlah, mungkin aku kurang daya kreativiti...Moga-moga suatu masa aku bisa berkarya dan bukan hanya tahu mengkritik hasil titik peluh orang lain....

Wahai Juwitaku, mengapa gundah-gulana hati hamba pagi ini.. Sejak fajar menyingsing, agak sukar untuk beta melupakan kejadian di hari yg lepas..

Wahai Juwitaku, Bagai telah terpaut hati beta Sejak hamba menguntum senyuman, semakin mekar cinta dengan haruman..

Wahai Juwitaku, Musykil hamba memikirkan, Bagaimana hati yg liat ini dapat dilentur hanya dengan kuntuman senyumanmu, Tersentuh kalbu ini tiap kali gugur linangan air mata duka mu.

Wahai Juwitaku, Adakah Hamba di alam asmara? Mustahil..Mustahil sepertimana mustahilnya bangkai gajah dikafankan dengan daun nipah..

Namun hamba pasrah akhirnya, kerna sekeras mana pun, hati yang ungkal ini, Tunduk dan longlai dipukau keindahan parasmu, halus budi bicaramu dan bahang gejolak cintamu, Wahai Juwitaku..