Tuesday, September 16, 2008

kelas sastera medan perjuangan

Mungkin tanggapanku bahawa sastera itu hanya untuk mereka yang terpilih ada kebenarannya. Ini ku nyatakan setelah menjalani beberapa latihan menghuraikan cerpen-cerpen bermula dengan Rembulan dalam Cappuccino, Surat yang tak pernah sampai dan yang terbaru Panggil aku: Pheng Hwa. Acapkali aku sedar tafsiranku tentang karya-karya tersebut amat berbeza sekali dengan rakan-rakan kelas yang rata-rata mampu menghuraikan cerpen dengan begitu baik sekali. Aku pula diajukan pelbagai soalan yang menguji kekuatan argumenku. Seringkali aku tewas mempertahankan hujah-hujahku. Aku bertanya, dimanakah kesilapanku? Adakah ia hanya permainan psikologi dimana kegugatan yang timbul dek diajukan pelbagai soalan telah menggoyahkan pendirianku tentang teks tersebut lantas hujah-hujahku kelihatannya seperti tidak berasas?

Apapun, aku mula memahami bahawa sastera itu tidak semudah yang aku sangkakan. Seorang pembaca harus mempunyai pendirian tegas tentang apa yang digarapnya dari pembacaan sastera tersebut dan mencari bukti-bukti kukuh untuk mempertahankan tafsirannya. Melihat tafsiran berbeza rakan-rakanku, aku rasakan sastera sebenarnya memberi kebebasan kepada pembaca kerana mereka tidak dipaksa mengikut satu tafsiran sahaja. Apa yang perlu cuma keyakinan untuk membentangkannya dan keberanian menghadapi musuh-musuh yang tidak sealiran.

Timbul pula kerisauan dalam diriku. Jika aku sendiri tidak berjaya mempertahankan tafsiranku, mampukah aku menjalankan tugasku sebagai guru sastera? Minat aku dalam sastera memang ada, tapi adakah itu cukup untuk aku mengajar sastera? Mentelah, aku dapati pentakrifan aku tentang sesuatu sastera amat berbeza dengan rakan-rakanku. Betulkah sastera itu hanya untuk mereka yang terpilih? Wujudkah teknik-teknik untuk mempelajari sastera?
Dr Razif telah menerangkan sememangnya sastera itu adalah untuk umum. Namun, untuk mencapai tahap seterusnya iaitu kebolehan mengkritik, menganalisa dan menyampaikan tafsiran sastera, bukanlah tugas yang mudah. Lantas, tidak semua boleh lakukannya.


No comments: