Tuesday, September 9, 2008

Penyampaian sajak melalui media

Tiba giliran aku untuk perbentangkan bahan bacaan. Aku bersemangat ingin berkongsi sebuah sedutan filem remaja yang pernah aku tonton satu ketika dahulu. Filem “Ada apa dengan cinta” (AADC) menjadi kegilaan remaja bukan hanya kerana pelakon-pelakon yang tampan dan cantik belaka, tetapi jalan ceritanya yang bertemakan cinta, sesuatu yang dekat dihati para remaja. Apa yang menarik tentang AADC ialah penonton disajikan dengan kata-kata puitis yang mengisarkan pergolakkan emosi watak-wataknya. Aku amat tertarik dengan cara pengarah menyelitkan adegan-adegan penyampaian puisi-puisi indah. Lantas, dengan bantuan Youtube, aku berjaya mendapatkan sedikit sedutan AADC. Klip video itu mempaparkan watak utama, Cinta, mendeklamasikan sebuah sajak berlatarbelakangkan alunan muzik indah diselangselitkan dengan beberapa adegan dalam AADC bagi memperkukuhkan lagi penghayatan sajak tersebut. Namun, Dr. Razif mempersoalkan penggunaan media sebagai perantaraan dalam menyampaikan sesebuah sajak kepada pelajar-pelajar. Bagi beliau, ia bagaikan guru itu hanya mahu mengambil jalan mudah.

Kesuntukan masa didalam kelas tidak mengizinkan aku memberi penjelasan tentang mengapa klip video itu dipilih. Malah aku tidak berkesempatan menyumbang tafsiranku tentang sajak tersebut. Disini, aku ingin cuba menjernihkan keadaan.

Menurut pendapatku, tidak salah jika seorang guru menggunakan media sebagai perantaraan. Jika cara penyampaian puisi itu lebih meninggalkan kesan yang mendalam kepada si pendengar, mengapa tidak? Mungkin apa yang dimaksudkan Dr Razif ialah untuk menghayati sebuah puisi, seseorang harus melihat perkataan-perkataan puisi itu dengan jelas, tidak boleh mengharapkan pendengaran semata-mata. Salah aku juga kerana beranggapan semua akan tangkap apa yang diujarkan Cinta. Namun, aku tetap berpendirian bahawa penggunaan media kadangkala boleh memberi impak yang lebih ketara, terutamanya dari segi menarik perhatian pelajar-pelajar. Mentelah, guru sekarang berhadapan dengan pelajar zaman digital yang berminat pada bahan-bahan visual. Oleh itu, sastera harus dipersembahkan sebagai sesuatu yang sealiran dengan perkembangan teknologi. Apa yang boleh diperbaiki ialah menyediakan transkripsi sajak tersebut bersebelahan klip video supaya mudah untuk diikuti ramai.

Menjelaskan lebih lanjut pemilihan klip tersebut, aku ingin utarakan perbezaan sajak dalam AADC dengan sajak cinta kimia yang dibentangkan minggu lepas. Yang pertama, sajak AADC menuntut si pembaca mengetahui jalan cerita AADC untuk memahami sajak itu dengan lebih mendalam kerana ia berbentuk kontekstual. Manakala sajak cinta kimia menyentuh aspek cinta secara langsung. Selain itu, seseorang yang ingin menghayati sajak AADC juga harus mempunyai sedikit pengetahuan tentang bahasa Indonesia kerana terdapat beberapa istilah-istilah asing. Ini menunjukkan bahawa sastera adakalanya membataskan khalayaknya. Juga, penggunaan visual sememangnya membantu dalam pemahaman sajak tersebut berbanding dengan penyampaian sajak cinta kimia dimana pendengar hanya membayangkan saja bagaimana penyatuan partikel-partikel boleh mendatangkan reaksi kimia.

Secara rumusan, sajak boleh disampaikan dengan pelbagai cara. Aku akui penyampaian sajak melalui lisan secara lansung akan kelihatan lebih spontan dan luhur. Namun, kita tidak boleh menolak teknologi yang sudah pun menjadi sebahagian besar daripada hidup kita. Ku akhiri dengan sedutan sajak AADC. Apa yang dapat digarap ialah watak Cinta sedang berasa sangat kesunyian lantas mendambakan perhatian. Dia juga bagaikan ingin petunjuk bagi meleraikan kekeliruan hidup yang dihadapinya. Para remaja sememangnya boleh berhubung dengan isu-isu sebegini.

Ku lari ke hutan kemudian menyanyiku
Ku lari ke pantai kemudian teriakku
Sepi, sepi dan sendiri aku benci
Aku ingin bingar, aku mau di pasar

Bosan aku dengan penat
Dan enyah saja kau pekat
Seperti berjelaga jika ku sendiri
Pecahkan saja gelasnya biar ramai
Biar mengadu sampai gaduh

Ada malaikat menyulam
Jaring laba-laba belang di tembok keraton putih
Kenapa tak goyangkan saja loncengnya biar terdera
Atau aku harus lari ke hutan, belok ke pantai

No comments: