Monday, September 8, 2008

Novel popular tidak harus diperlekehkan

Isu sastera ringan (novel popular) dan sastera berat (novel serius) hangat diperdebatkan didalam kelas. Kami berusaha mengupas peri-pentingnya novel popular walaupun ramai yang memperkotak-katikkan kandungan novel-novel cinta. Aku bertegas ingin menggalakkan para pelajarku terus dibuai dan dilenggokkan dengan madah-madah cinta. Aku percaya novel-novel popular inilah yang akan menjadi pencetus minat dalam sastera berat. Sebagai seorang guru, aku tidak harus meremehkan novel-novel popular. Malah, aku harus mengambil kesempatan diatas kecenderungan mereka dan berusaha menambah nilai keatasnya. Apa yang dimaksudkan disini ialah aku akan gunakan novel popular sebagai landasan untuk mengembangkan pemikiran dan perspektif mereka dalam menganalisa sastera genre lain. Juga supaya akhirnya pelajar-pelajarku berjaya menjadi "discerning readers" lantas dapat menilai mutu sesebuah sastera.

Aku juga berpendapat salah satu sebab remaja kurang minat dalam novel serius ialah penggunaan istilah-istilah yang dianggap asing bagi mereka. Lantas, ia mematikan semangat membaca dek kurang pemahaman. Penting untuk aku mengembangkan kosa kata pelajarku dalam pelbagai bidang. Mungkin aku boleh melakarkan kelas aku mengikut tema-tema tertentu. Aku juga boleh mengajar teknik membaca yang boleh memudahkan mereka memahami sesuatu perkataan baru.

Yang pasti, aku tak akan menghalang pelajarku membaca novel popular. Malah aku menganggap ia sesuatu yang positif kerana ia mencerminkan minat mereka dalam sastera Melayu. Mungkin mereka belum arif menilai kualiti sesebuah karya. Namun ia tetap pemangkin bagi mengalih tumpuan mereka kepada sastera berat dan memperhalusi kemahiran bahasa mereka. Lagipun, melalui pembacaan, ia juga dapat memperbaiki kemahiran menulis.

Aku sendiri akui, Ahadiatlah yang memperkenalkan aku kepada dunia sastera Melayu yang sekarng baru aku sedar betapa luasnya ia. Novel popular berjaya menerbitkan cintaku terhadap bahasa kerana aku sering dicabar merujuk kamus mencari makna perkataan-perkataan sukar. Dengan demikian, aku mula mengapresiasi keindahan bahasa ibundaku dek semangat jitu menggarap jalan cerita sesebuah novel. Novel popular jugalah yang menemani aku ketika aku mencari ketenangan menghadapi zaman remaja. Oleh itu, aku sangkal dakwaan pengkritik yang menyatakan novel popular tiada nilainya.

No comments: