Thursday, September 18, 2008

Kaedah pengajaran sajak

Kami diberi kesempatan membentangkan kaedah pengajaran sajak. Dengan berbekalkan sajak “Di dalam diriku ada hutan” karya Wiji Thukul, kami berusaha memerah otak melakarkan pelan untuk mengajar sajak tersebut di kelas. Dapatan yang diperolehi sememangnya berbeza. Jun bermain dengan ekspresi pelajar dalam mencungkil emosi mereka tentang sajak tersebut. Illiana menerapkan elemen keseronokan dalam pelan dengan menyertakan permainan "heart attack” sebagai sebahagian daripada proses pengajaran. Marissa pula mengeksploitasi kebolehan melukis apabila pelajar dihendaki melakarkan interpretasi sajak dalam bentuk grafik dan imejan. Pendekatan Uma agak serupa dengan aku dimana kami lebih menekankan aspek teknikal sajak.

Aku amat kagum melihat bagaimana sesebuah sajak boleh dimengertikan melalui pelbagai cara. Dengan itu, aku merumuskan kaedah pengajaran mencerminkan keperibadian si pengajar. Dari situ, aku mula mendapati bahawa guru sememangnya mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan proses pembelajaran. Inilah saatnya guru menyerlahkan kreativiti mereka agar kelas kekal menarik. Bagaimanapun, ini juga bermakna guru harus mengorbankan lebih banyak masa dan tenaga dalam pencarian bahan-bahan pengajaran yang relevan dan segar. Usaha mereka akan terpantul dalam pelan pengajaran mereka.

Setelah selesai pembentangan, aku mendapati perancanganku kurang kreativiti. Malah aku gagal mengambil kira faktor khalayak dan masa. Penerangan mengenai segala ciri sajak secara serentak mungkin kurang sesuai diperingkat menengah. Mentelah, masa yang diberikan tidak mencukupi. Apa yang perlu diperbaiki ialah objektif pengajaran perlu jelas. Dengan itu segala percaturan boleh ditumpukan bagi memenuhi objektif tersebut.

Selagi aku masih digelar guru pelatih, aku harus bersedia menghadapi segala kemungkinan dikritik dan dipersoalkan. Apapun, masih banyak lagi yang perlu aku pelajari dalam meniti hari-hariku sebagai guru sastera. Ia bukan sesuatu yang mudah tetapi aku akan tetap berfikiran positif.







No comments: