Monday, November 3, 2008

Kecelaruan

Aku harus membentangkan gagasan utama/tema cerpen yang ku anggap benar-benar tidak masuk akal dan menguji kemahiran kognitif. Izinku kongsi sedikit pemahamanku tentang Seri Perjalanan hasil tangan Nukila Amal.

Cerpen ini mempunyai empat bahagian yang menurutku bukan satu rangkaian atau kesinambungan. Apa yang menyatukan keempat-empat bahagian ialah tema cerpen ini secara keseluruhan iaitu mengenai perjalanan. Perjalanan satu proses yang membawa pelbagai bentuk pengalaman kepada si pejalan. Perkara yang menyerikan perjalanan itu ialah kesempatan untuk merefleksi diri ketika melalui perjalanan itu sendiri kerana si pejalan akan mengamati persekitarannya dan pengalaman yang dinikmati turut mendewasakannya.

Perjalanan baru Gulliver: Tumbolia
Perjalanan boleh bersifat misteri kerana si pejalan adakalanya tidak tahu apakah yang menantinya di penghujung jalan itu.
Kesemena-menaan perjalanan
Perjalanan satu proses yang tak berkesudahan. Perjalanan menjadi saksi pertumbuhan ataupun evolusi hidup seseorang. Seseorang itu akan tetap melalui proses perjalanan walaupun hayatnya di dunia sudah berakhir.
Perjalanan seribu kupu-kupu
Kupu-kupu boleh ditakrifkan sebagai aura manusia. Aura ini dibentuk oleh pencantuman molekul bau. Aura manusia akan bertukar-tukar sepanjang perjalanan apabila dia mengalami perubahan pada dirinya.
Naik taksi
Dalam meniti perjalanan, adakalanya kita bersifat perjudis terhadap orang sekeliling kita dengan menghukumnya sebelum mengenalinya dengan lebih dekat.

Bagaimanapun, Dr Razif telah memberi tafsiran berbeza terhadap cerpen ini. Rupa-rupanya, cerpen ini mengandungi makna yang begitu mendalam dan tidak semudah yang aku sangkakan. Penggunaan bahasa dari segi pemilihan kekata sedikit sebanyak mempengaruhi pemahaman pembaca yang mempunyai latarbelakang pelbagai.

Dapat digarapkan bahawa cerpen ini mengandungi unsur intertekstualiti. Penulis Mana Sikana menjelaskan bahawa teori intertekstualiti menunjukkan sebuah karya sastera boleh memberi tafsiran baru kepada karya-karya hasil tangan pengarang lain. Menurut Teeuw, “kelahiran sesebuah teks itu kebanyakannya menerima pengaruh mahupun panduan daripada teks-teks lain atau teks-teks sebelumnya. Malahan dapat dikesan dalam sesebuah teks itu akan kewujudan unsur transformasi, penyimpangan atau penolakan daripada teks-teks yang terdahulu“ (Mana 2003: 149).

Intertekstualiti dapat dilihat menerusi tajuk bahagian pertama cerpen. Penggunaan kekata Gulliver dan Tumbolia memperlihatkan bahawa Nukila Amal telah mengadaptasikan beberapa gagasan daripada teks penulis lain.

Rujukan:
Mana Sikana. (2003). Membina keunggulan tradisi sastera. Singapura: Pustaka NAsional Pte Ltd.


No comments: