Seri Perjalanan (Bahagian 2)
Aku masih tertanya-tanya mengapakah sukar sekali untuk memahami cerpen absurdisme ini. Adakah kerana kelemahan dialogisme antara aku dan teks?
Mikhail Bakhtin pada 1929 menghasilkan buku berjudul "Problems of Dostoevsky’s Art" dimana beliau memperkenalkan konsep "dialogism" (http://en.wikipedia.org/wiki/Bakhtin). Beliau berpendapat bahawa semua karya sastera itu dihasilkan berdasarkan dialog antara teks dalaman dengan teks luaran. Teks dalaman merujuk kepada aspek yang berkaitan dengan pembinaan sesebuah karya sastera seperti estetik, imaginatif dan ilusi. Manakala teks luaran pula teks sosial yang paling erat kaitannya dengan pengalaman pengarang, ideologi, sejarah, moral dan budaya. Ia mempunyai pengertian yang mencakupi fakta dan peristiwa sejarah. Dialogisme Bakhtin lebih menekankan aspek luaran yang mempengaruhi pembacaan atau bagaimana pengarang mendekati sesebuah karya sastera dan selepas itu secara naluriah pula akan mengalir ke dalam karya yang dihasilkannya.
Mungkin pengetahuan sediaku tidak setaraf pengetahuan Nukila. Melihat pada istilah-istilah yang digunakan dan teknik penulisan, ia jauh berbeza daripada teks-teks yang sering aku baca. Lantas, aku tidak dapat berhubung dengan teks menyebabkan aku dibiarkan terkapai-kapai dan fikiranku bercelaru. Mentelah, cara penyampaian cerpen yang bersifat absurdisme ini membuat aku merasa terasing dan aneh sehinggakan tidak senang aku dibuatnya.
Satu lagi perihal yang bermain dibenakku ialah berkaitan tema cerpen-cerpen yang telah diberikan kepada kami sebagai perbincangan. Kami telah menyentuh isu feminisme, sains fiksyen dan sebagainya. Kenapa tidak diberikan teks Melayu berbaur agama dalam sastera ketika dikelas? Adakah kerana rakan-rakan kelas sastera aku tidak semua menganuti agama Islam? Lantas, sukar untuk membincangkan tentang teks Islam kerana ini tidak adil buat mereka yang bukan Islam. Jika aku ingin memberikan teks Melayu yang mempunyai unsur-unsur Islam, bagaiamana harus aku mengendalikan kelas aku yang mempunyai pelajar berbeza latar belakang?
No comments:
Post a Comment