Thursday, October 30, 2008

Latihan melakarkan soalan-soalan HOTS

Aku diberi kesempatan melakarkan soalan-soalan HOTS. Difahamkan soalan-soalan sedemikian didasari fahaman taxonomi Bloom yang mengklasifikasikan kognitif manusia kepada enam tingkat seperti berikut:
(1) Pengetahuan
(2) Pemahaman
(3) Aplikasi
(4) Analisis
(5) Sintesis
(6) Penilaian

Dengan berlandaskan sajak Pulang karya Muhammad Haji Salleh, aku perlu membentangkan tiga soalan HOTS dalam jangka masa lebih kurang 30 minit. Inilah soalan-soalannya:

(1) Apakah pengertian pulang dalam sajak ini? Adakah kepulangan yang dialami penulis sesuatu yang awak inginkan? (pemahaman/aplikasi/analisis/penilaian)
(2) Apakah yang dimaksudkan dengan “idealisme pemuda”? Salahkah para pemuda berfikiran sedemikian? (pemahaman/analisis/penilaian)
(3) Apakah yang diharapkan penulis setibanya ditempat asal? Patutkah penulis mempunyai harapan sedemikian? (pemahaman/analisis/penilaian)

Sememangnya bukan mudah untuk seorang guru mencerna soalan-soalan HOTS. Banyak perkara perlu dipertimbangkan. Guru harus:

(1) menganggarkan jawaban yang akan diberikan pelajar
- memikirkan pandangan-pandangan yang boleh diterima
- menantisipasikan bukti-bukti dari teks yang boleh digunakan bagi mengukuhkan argumentasi
(2) membentuk skema penilaian
- adakah markah yang baik diberikan kepada pelajar yang dapat memberikan banyak bukti?
- bagaimana pula jika bukti yang diberikan sikit tapi cara ia membentangkan argumentasinya amat baik?

Apa yang pasti, banyak manfaat dapat diraih oleh para pelajar dengan adanya latihan menjawab soalan HOTS.
- pelajar dapat membuka mata mereka kepada perpsektif yang berbeza dalam menjawab soalan
- meletakkan diri mereka pada sudut pandangan yang mereka tidak setuju
- melihat bagaimana sudut pandangan yang bertentangan boleh jadi sahih
- memupuk kemahiran berfikir secara kritis
- menguji tahap pemahaman kerana keberkesannan argumentasi adalah berdasarkan bukti kukuh daripada teks

Tuesday, October 28, 2008

Teori sastera feminis

Sudah hampir seminggu topik mengenai feminisme disentuh. Sesi perbincangan rancak dijalankan dengan tujuan menguji sejauh mana pengetahuan kami mengenai feminisme dan sekukuh mana naluri feminis terpacak dalam jiwa kami berlima. Setelah puas berdebat, aku mula sangsi dengan naluri feminisku. Malah, aku rasakan Dr Razif lebih berkobar-kobar memperjuangkan hak asasi wanita berbanding kami yang daif ini, yang masih terpengaruh dengan pemikiran patriariki. Menurut dapatanku, feminisme merupakan suatu bentuk pergerakan yang dilakukan secara massa dengan tujuan menuntut emansipasi bagi pihak wanita daripada penindasan oleh nilai-nilai patriaki. Gelombang pertama feminisme boleh dikaitkan dengan pergerakan Suffrage yang memperjuangkan hak wanita untuk mengundi. Pergerakan ini selanjutnya berkembang dengan merangkumkan isu-isu lain seperti ketidakadilan undang-undang terhadap kaum wanita. Jika itulah agendanya, adakah ini bermakna kaum Adam juga boleh bersifat feminis? Feminisme dalam sastera pula boleh dilihat dari segi perspektif yang diambil bagi memahami teks. Pendekatan teori sastera feminis mengkaji pembikinan gender. Antaranya, ia menyentuh aspek penindasan dan kebebasan wanita, menganalisa kedudukan wanita dan lelaki dan meneliti pembahagian kuasa samada di bidang sosial, ekonomi atau politik.

Culler (2000) berpendapat teori sastera digunakan untuk menganalisa dan membantu dalam menyusun argumentasi bagi menjelaskan dan memberi pemaknaan pada teks. Teori sastera sememangnya tidak boleh dipandang remeh kerana sudah lumrah kognitif manusia mengkategorikan informasi didalam otaknya sebelum proses pemaknaan boleh berlaku. Oleh itu, guru seberapa boleh harus memanfaatkan penggunaan teori dalam pengajaran sastera, bukan secara mendadak tetapi "subtle".

Rujukan:
Culler, J. (2000). Literary Theory: A very short introduction. Oxford University Press.

Thursday, October 23, 2008

"Bercinta dengan Barbie" melalui QUADS

QU- Questions (Soalan)
A- Answers (Jawapan)
D- Details (Penerangan/perincian)
S- Source (Sumber)
Soalan: Mengapakah Barbie dipilih?
Jawapan
:
Barbie sebagai simbol seks bersesuaian dengan tajuk dan tema cerpen iaitu tentang perhubungan, tentang cinta
Penerangan:
Barbie susuk yang memaparkan ciri-ciri ideal wanita. Ciri-ciri tersebut dapat menghairahkan lelaki. Sosok dambaan semua lelaki dan membuat wanita berasa iri ibarat pepatah “the envy of every woman, the fantasy of every man”.
Sumber bagi mengukuhkan hujah:
Narrator sering membandingkan isterinya dengan Barbie. Perbandingan dibuat untuk menunjukkan perbezaan fizikal ketara dan sebagai alasan mengapa isterinya tidak dapat memenuhi nafsu seksnya. Isteri digambarkan sebagai “Dagunya berlipat dua, dadanya melorot, perutnya lembek, dan pahanya bahkan sudah menyerupai bantak berisi kapuk tua” (ms 21). Ini berbanding dengan Barbie yang “Berambut pirang, dengan leher jenjang, dadanya bulat padat mencuat kembar, dan betisnya begitu liar menggoda, tubuh ramping” (ms21). Ini dikukuhkan lagi dengan penyataan “kau gadis cantik yang sempurna…” (ms 22). Sehingga lelaki-lelaki yang bercinta dengan Barbie “segera berdiri lagi dibarisan terakhir, antri antri menunggu kesempatan berikutnya” (ms 24). Jelaslah disini seks yang ditawarkan Barbie mengatasi segala-gala bentuk seks yang lain sehingga lelaki mendambakan lagi seks sebegitu daripada Barbie. Selain itu, Barbie dengan sifat bonekanya yang pasif tidak akan menimbulkan apa-apa masalah kepada lelaki. Justeru, daya tarikan Barbie bukan hanya pada rupa fisikal tetapi juga keupayaan lelaki meletakkan kuasa keatas wanita. Itulah yang dimahukan setiap lelaki.
Melihat kepada isi kandungan cerpen ini yang berbaur seksual, timbul pula persoalan diminda aku. Dalam memilih teks untuk dijadikan bahan pengajaran, teks jenis apakah yang sesuai bagi para pelajar? Adakah para pelajar patut didedahkan kepada isu-isu yang matang iaitu yang dialami orang dewasa? Faisal Tehrani pernah mengeluarkan argumentasi bahawa isu orang dewasa boleh dibahaskan dalam novel kerana “perubahan zaman dan keadaan telah menyebabkan anak-anak dan remaja begitu terdedah oleh pelbagai persoalan termasuk politik antarabangsa“ (http://tehranifaisal.blogspot.com/2006/04/sastera-kanak-kanak-pendekatan-islam.html). Masalahnya, adakah para pelajar sudah bersedia menangani isu-isu sedemikian?

Thursday, October 9, 2008

Pemahaman sastera melalui teknik dramatis

Sinopsis cerpen “Panggil aku: Pheng Hwa” karya Veven Sp Wardhana

Cerpen ini mengisahkan tentang seorang warga Indonesia yang berbangsa Tionghoa sedang mengalami masalah identiti. Secara amnya, cerpen ini adalah refleksi terhadap isu yang dihadapi orang Tionghoa dimana mereka sering dicemuh dan didiskriminasi disebabkan kedudukan mereka yang bukan Pribumi. Lantas, golongan sedemikian seringkali bermain dengan identiti mereka, dengan memupuk nama yang dapat menguntungkan mereka mengikut konteks berbeza. Lokasi dan masa menjadi faktor penting dalam menentukan nama apa yang patut digunakan ie. nama asal atau nama KTP.

Perbincangan sebelumnya telah menggunakan pendekatan linkungan sastera. Kami diberi peranan seperti pengarah perbincangan, tokoh sastera terunggul, penghubung, wedana watak dan bendahara kosa kata. Tugas kami ialah mengupas cerpen ini berdasarkan perspektif yang ditentukan oleh peranan yang diberikan.

Perbincangan selanjutnya pula memerlukan penyampaian beberapa perenggan cerpen ini menggunakan teknik dramatis iaitu dengan suara lantang dan intonasi yang sesuai. Bersama-sama Illiana, kami berusaha menunjukkan intepretasi lisan berbeza terhadap teks yang sama. Inilah antara perenggan yang dipilih:

“... semua Cina yang kutemukan di wilayah Paris distrik 13 ini tak satu pun yang bicara dalam bahasa Mandarin. Bahkan sesama Cina pun mereka ber-parlez Francaise” (ms 161, perenggan 7)

Illiana membacanya dengan nada yang menunjukkan perasaan terkejut, seolah-olah pernyataan ini ialah suatu dapatan baru buat diri narator. Manakala aku pula menyampaikannya dengan nada jijik, narator diibaratkan seperti memandang rendah kepada orang Cina yang bagaikan golongan lupa daratan.

Di negeri asing ini…….aku tak lagi menggubris aku akan dipanggil dengan nama apa, toh, aku sudah tidak lagi merasa ngumpet…aku merasa baru terlahir kembali” (ms. 163, perenggan 4)

Illiana memaparkan perasaan gembira kerana narator yakin keadaan di Indonesia sudah berubah dimana beliau tidak akan lagi didiskriminasi. Aku pula menunjukkan sikap sambil lewa narator yang tidak pedulikan tentang identitinya lagi.

Aku amat tertarik dengan latihan sedemikian. Pertama, ia menyelitkan elemen drama dalam penyampaian teks. Pelajar harus bijak memilih intonasi yang sesuai dalam menyampaikan intepretasinya. Kedua, ia menguji kebolehan pelajar mengekspresikan emosinya. Ketiga, melalui latihan ini, pelajar akan mendapati sesebuah teks itu boleh mengandungi pelbagai intepretasi. Ini akan membuka minda mereka kepada wujudnya sudut pandangan yang berbeza.