Monday, November 3, 2008

Seri Perjalanan (Bahagian 2)
Aku masih tertanya-tanya mengapakah sukar sekali untuk memahami cerpen absurdisme ini. Adakah kerana kelemahan dialogisme antara aku dan teks?

Mikhail Bakhtin pada 1929 menghasilkan buku berjudul "Problems of Dostoevsky’s Art" dimana beliau memperkenalkan konsep "dialogism" (http://en.wikipedia.org/wiki/Bakhtin). Beliau berpendapat bahawa semua karya sastera itu dihasilkan berdasarkan dialog antara teks dalaman dengan teks luaran. Teks dalaman merujuk kepada aspek yang berkaitan dengan pembinaan sesebuah karya sastera seperti estetik, imaginatif dan ilusi. Manakala teks luaran pula teks sosial yang paling erat kaitannya dengan pengalaman pengarang, ideologi, sejarah, moral dan budaya. Ia mempunyai pengertian yang mencakupi fakta dan peristiwa sejarah. Dialogisme Bakhtin lebih menekankan aspek luaran yang mempengaruhi pembacaan atau bagaimana pengarang mendekati sesebuah karya sastera dan selepas itu secara naluriah pula akan mengalir ke dalam karya yang dihasilkannya.

Mungkin pengetahuan sediaku tidak setaraf pengetahuan Nukila. Melihat pada istilah-istilah yang digunakan dan teknik penulisan, ia jauh berbeza daripada teks-teks yang sering aku baca. Lantas, aku tidak dapat berhubung dengan teks menyebabkan aku dibiarkan terkapai-kapai dan fikiranku bercelaru. Mentelah, cara penyampaian cerpen yang bersifat absurdisme ini membuat aku merasa terasing dan aneh sehinggakan tidak senang aku dibuatnya.

Satu lagi perihal yang bermain dibenakku ialah berkaitan tema cerpen-cerpen yang telah diberikan kepada kami sebagai perbincangan. Kami telah menyentuh isu feminisme, sains fiksyen dan sebagainya. Kenapa tidak diberikan teks Melayu berbaur agama dalam sastera ketika dikelas? Adakah kerana rakan-rakan kelas sastera aku tidak semua menganuti agama Islam? Lantas, sukar untuk membincangkan tentang teks Islam kerana ini tidak adil buat mereka yang bukan Islam. Jika aku ingin memberikan teks Melayu yang mempunyai unsur-unsur Islam, bagaiamana harus aku mengendalikan kelas aku yang mempunyai pelajar berbeza latar belakang?

Kecelaruan

Aku harus membentangkan gagasan utama/tema cerpen yang ku anggap benar-benar tidak masuk akal dan menguji kemahiran kognitif. Izinku kongsi sedikit pemahamanku tentang Seri Perjalanan hasil tangan Nukila Amal.

Cerpen ini mempunyai empat bahagian yang menurutku bukan satu rangkaian atau kesinambungan. Apa yang menyatukan keempat-empat bahagian ialah tema cerpen ini secara keseluruhan iaitu mengenai perjalanan. Perjalanan satu proses yang membawa pelbagai bentuk pengalaman kepada si pejalan. Perkara yang menyerikan perjalanan itu ialah kesempatan untuk merefleksi diri ketika melalui perjalanan itu sendiri kerana si pejalan akan mengamati persekitarannya dan pengalaman yang dinikmati turut mendewasakannya.

Perjalanan baru Gulliver: Tumbolia
Perjalanan boleh bersifat misteri kerana si pejalan adakalanya tidak tahu apakah yang menantinya di penghujung jalan itu.
Kesemena-menaan perjalanan
Perjalanan satu proses yang tak berkesudahan. Perjalanan menjadi saksi pertumbuhan ataupun evolusi hidup seseorang. Seseorang itu akan tetap melalui proses perjalanan walaupun hayatnya di dunia sudah berakhir.
Perjalanan seribu kupu-kupu
Kupu-kupu boleh ditakrifkan sebagai aura manusia. Aura ini dibentuk oleh pencantuman molekul bau. Aura manusia akan bertukar-tukar sepanjang perjalanan apabila dia mengalami perubahan pada dirinya.
Naik taksi
Dalam meniti perjalanan, adakalanya kita bersifat perjudis terhadap orang sekeliling kita dengan menghukumnya sebelum mengenalinya dengan lebih dekat.

Bagaimanapun, Dr Razif telah memberi tafsiran berbeza terhadap cerpen ini. Rupa-rupanya, cerpen ini mengandungi makna yang begitu mendalam dan tidak semudah yang aku sangkakan. Penggunaan bahasa dari segi pemilihan kekata sedikit sebanyak mempengaruhi pemahaman pembaca yang mempunyai latarbelakang pelbagai.

Dapat digarapkan bahawa cerpen ini mengandungi unsur intertekstualiti. Penulis Mana Sikana menjelaskan bahawa teori intertekstualiti menunjukkan sebuah karya sastera boleh memberi tafsiran baru kepada karya-karya hasil tangan pengarang lain. Menurut Teeuw, “kelahiran sesebuah teks itu kebanyakannya menerima pengaruh mahupun panduan daripada teks-teks lain atau teks-teks sebelumnya. Malahan dapat dikesan dalam sesebuah teks itu akan kewujudan unsur transformasi, penyimpangan atau penolakan daripada teks-teks yang terdahulu“ (Mana 2003: 149).

Intertekstualiti dapat dilihat menerusi tajuk bahagian pertama cerpen. Penggunaan kekata Gulliver dan Tumbolia memperlihatkan bahawa Nukila Amal telah mengadaptasikan beberapa gagasan daripada teks penulis lain.

Rujukan:
Mana Sikana. (2003). Membina keunggulan tradisi sastera. Singapura: Pustaka NAsional Pte Ltd.